Adakah 'direct flash' tak cantik ?

Teknik pantulan flash atau bounce flash ini sememangnya terbukti dapat menghasilkan kesan gambar yang lebih menarik dengan menghasilkan bayang-bayang yang lebih lembut dan sebaran cahaya yang lebih teratur pada subjek dan keadaan sekeliling.Teknik ini juga kadangkala memberikan impak atau kesan bayang-bayang seolah-olah gambar diambil di studio fotografi.Tetapi tahukah anda sebenarnya teknik pantulan flash ini adalah terhad penggunaannya.Penggunaan pantulan flash terhad kepada keadaan bilik atau ruangan yang mempunyai permukaan untuk cahaya dipantulkan samada pada dinding di tepi atau siling di atas.Maka tidak hairanlah jika teknik ini menjadi kegemaran jurugambar-jurugambar perkahwinan di Malaysia kerana kebanyakan majlis-majlis kahwin di sini diadakan di dalam rumah atau bangunan.Tetapi bagaimana pula dengan acara-acara atau majlis perkahwinan yang dilangsungkan di luar rumah atau dewan yang luas dengan permukaan siling yang sangat tinggi?Apakah teknik pantulan ini masih praktikal?Jawapannya sudah tentu tidak,kerana pantulan ini tidak akan dapat dibuat dengan berkesan atau cahaya tidak dapat dipantulkan langsung,maka sia-sialah anda menggunakan flash.

Di dalam dewan luas dan siling yang tinggi,kekuatan cahaya dari pantulan flash akan beransur-ansur kurang dengan jarak laluan cahaya yang sangat jauh.Maka cahaya yang sampai kepada subjek adalah sangat sedikit dan tidak mampu untuk memberikan pencahayaan penuh untuk dirakam.Untuk mendapatkan cahaya yang cukup,anda harus menggunakan kekuatan penuh unit flash anda dan ini mungkin akan menyumbang kepada kehausan bateri yang lebih cepat dan jangka hayat unit flash itu sendiri menjadi lebih pendek.Dengan menggunakan teknik flash secara terus,masalah ini akan dapat diatasi dengan mudah dan berkesan.

Teknik 'fill flash' malah teknik terus atau direct flash dapat mengatasi keadaan cahaya yang rumit seperti kehadiran sumber cahaya lain di belakang (back light) subjek yang bertentangan dengan lensa kamera anda.Dalam keadaan ini,anda hanya perlu mendapatkan kiraan yang sesuai bagi latar belakang subjek dan masalah pencahayaan subjek di hadapan anda akan di ambil alih atau diselamatkan oleh teknik flash secara terus.Dengan ini anda akan mendapat hasil pencahayaan yang seimbang di antara latar belakang dan subjek di hadapan.

Dengan menggunakan teknik pantulan,anda sebenarnya menggunakan tenaga bateri yang lebih jika dibandingkan dengan teknik terus terutamanya jika anda menggunakan kuasa penuh flash untuk mendapatkan gambar yang diperlukan.Kuasa flash yang sangat tinggi tidak disarankan untuk penggunaan burst atau continuous mode.Kebiasaannya burst atau continuous mode ini akan digunakan bagi saat-saat penting di dalam sesuatu majlis seperti majlis-majlis formal dan acara-acara penting yang melibatkan orang-orang kenamaan.Berbanding majlis perkahwinan di mana acara berjalan dengan lebih tenang dan perlahan,acara-acara perasmian atau majlis-majlis formal berjalan dengan lebih pantas dan saat-saat penting sukar untuk diulang contohnya ucapan dari kerabat diraja.Setiap saat diambil kira bagi mendapatkan gambar yang terbaik untuk dimuatkan di dada-dada akhbar contohnya.Bagi menyelaras penggunaan burst atau continuous mode ini,teknik terus adalah kaedah yang paling berkesan tanpa risiko yang tinggi seperti pencahayaan yang kurang dan kehabisan bateri di saat-saat penting.Bagi mereka yang kurang mahir dengan teknik ini pula,mungkin mod TTL pada tetapan flash boleh membantu manakala bagi mendapatkan kawalan pencahayaan sepenuhnya terhadap subjek,mod manual pasti tidak mengecewakan.



p/s : kekurangan teknik direct flash ialah kesan cahaya yang agak kurang menyenangkan pada bahagian muka dan permukaan yang banyak memantulkan cahaya.Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan defuser pada unit flash.

1 comment:

  1. nice info..saya baru buat blog..boleh lawat dan singgah..
    http://pzulzarien.blogspot.com

    ReplyDelete